suria

Bantahan Kekejaman Israel Di Kedutaan Amerika Syarikat Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Satu demonstrasi rakyat akan diadakan pada Jumaat ini di Kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah serangan rejim Israel ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmala semalam.

Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, perhimpunan itu akan disertai oleh semua parti politik tidak mengira fahaman dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Ini bukan masanya untuk berpolitik kerana kita memerlukan kesepakatan rakyat Malaysia bagi menentang dan mengutuk keganasan yang dilakukan oleh pihak Israel," katanya selepas menghantar memorandum kepada wakil Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Menurut Khairy, semua rakyat negara ini tidak kira agama dan bangsa diseru untuk berkumpul di hadapan kedutaan itu selepas solat Jumaat dan sokongan semua diharap dapat membuka mata pihak antarabangsa mengenai kekejaman Israel.

"Ini bukan isu agama dan ini adalah isu sejagat, jadi semua rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama memberi sokongan dalam perhimpunan secara aman ini," katanya.

Katanya lagi, pemilihan hari Jumaat ini sebagai demonstrasi itu dibuat kerana ingin memberi tumpuan kepada penyerahan memorandum kepada wakil PBB di sini, Kamal Malhotra berikutan satu persidangan Majlis Ahli Keselamatan PBB sedang diadakan.

"Kamal berjanji untuk menyampaikan memorandum itu hari ini kerana Majlis Keselamatan PBB yang sedang bersidang dalam memastikan suara rakyat negara ini dapat diberi perhatian," katanya.

Sementara itu, Khairy memberitahu satu majlis solat Hajat akan diadakan selepas solat Maghrib di Masjid Jamek Kampung Baru di sini malam ini dan meminta umat Islam sama-sama menghadiri majlis itu malam ini.

Difahamkan, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad akan bersama-sama dalam majlis tersebut.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi (waktu Malaysia) semalam, tentera marin Israel telah menyerang kapal Mavi Marmala ketika kapal tersebut dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan di Gaza dan telah diserang oleh tentera Israel menggunakan peluru hidup serta semburan gas sebelum sempat rombongan tersebut memasuki perairan Gaza.

Konvoi Flotila Pembebasan adalah konvoi kemanusiaan terbesar yang disertai oleh 50 buah negara termasuk Malaysia dan melibatkan lebih daripada 700 peserta dan kapal Mavi Marmala membawa seramai 540 orang penumpang.

Setakat ini telah mengorbankan 15 sukarelawan dan 30 lain cedera. Belum dapat dipastikan nasib 11 rakyat Malaysia yang turut serta dalam konvoi laut berkenaan.

Difahamkan tentera rejim Zionis telah menguasai bilik media menyebabkan hubungan dengan kapal-kapal terbabit putus.

Dua warganegara Malaysia - wartawan, Ashwad Ismail dan jurukamera, Shamsul Kamal Latip dari Astro Awani yang menaiki kapal Turki bernama Mavi Marmara diserbu komando Israel pada kejadian itu dan nasib mereka masih belum diketahui.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain