suria

Orang Awam jumpa Mayat Lelaki Pemungut Sewa Apartment

PORT DICKSON: Mayat seorang lelaki, pemungut sewa apartment ditemui orang awam di tepi jalan pintas Taman Anika ke Kampung Segenting dekat sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Supritendan Adnan Mohd Ali berkata orang awam menjumpai mayat itu pada kira-kira pukul 7.15 malam dan kemudian menghubungi pihak polis.

"Pasukan polis yang pergi ke tempat kejadian mendapati kesan luka parah di dahi mayat itu dipercayai akibat pukulan senjata keras dan tumpul manakala cuping telinganya hampir putus. Polis turut menemui dompet dan motosikal mangsa di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya mangsa dikenali sebagai Lim Ah Sui, 39, dan tinggal di Taman Anika.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa yang berkemeja-T dan berseluar pendek sedang dalam perjalanan dari rumah bapanya di Kampung Segenting ke rumahnya di Taman Anika apabila dipercayai ditahan individu atau sekumpulan lelaki sebelum dipukul.

"Mayat mangsa yang berlumuran darah dijumpai terlentang dan setakat ini tiada senjata ditemui. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain