suria

Kumpulan Pencinta Hidupan Liar Mahu Adakan Perhimpunan Di Melaka

MELAKA: Satu kumpulan pencinta hidupan liar akan mengadakan perhimpunan Sabtu ini di hadapan sebuah pusat rekreasi terkemuka dekat Alor Gajah bagi mewujudkan kesedaran ke atas orang-ramai tentang perbuatan menganiayai harimau belang oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan mengutip wang.

Kumpulan itu yang baru-baru ini telah mewujudkan Facebook dengan nama Stop Animal Abuse A Famosa, telah menyeru ahli laman sosial itu dan juga orang-ramai supaya menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap layanan yang diberikan ke atas harimau dan juga haiwan-haiwan lain di pusat rekreasi tersebut.

Dewgem Yen, salah seorang daripada empat pengasas Facebook tersebut berkata, perhimpunan tersebut bukanlah bertujuan untuk menyasarkan pengusaha pusat rekreasi itu di atas dakwaan yang mengatakan mereka telah menganiayai hidupan liar khususnya harimau belang Februari lalu.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mahu menimbulkan kesedaran kepada orang-ramai bahawa hidupan liar tidak sepatutnya dieksploitasikan untuk tujuan membuat wang.

Laman facebook itu telah mengirim 1,500 jemputan setakat ini dan hasil daripada maklum balas ramai, 71 orang telahpun menyatakan komitmen mereka untuk hadir.

Ketika dihubungi, Pengurus Besar A Famosa Resort, Allan Chee berkata, pihaknya sedar akan perhimpunan yang akan diadakan Sabtu ini.

"Kami mengalu-alukan mereka untuk menyaksikan sendiri bagaimana binatang di resort ini dijaga dan dipelihara dan kami ingin membuktikan bahawa tidak ada binatang di resort ini yang dianiayai dan disalahlakukan," ujarnya.

Beliau juga menjelaskan, pihak pengelola safari telah berhenti menggunakan harimau belang yang dipelihara di situ untuk tujuan fotografi oleh orang-ramai sejak April lagi.

Isu mengenai penggunaan harimau belang yang dipelihara oleh resort berkenaan untuk tujuan fotografi telah menjadi perbincangan hangat di laman-laman web selepas gambar video mengenainya dimuatnaikkan di YouTube pada 18 Februari lalu.

Kata Allan, mereka membenarkan orang-ramai mengambil gambar bersama seekor harimau belang (yang telah dibius untuk dipengsankan) hanya pada perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini sahaja kerana memandangkan secara kebetulan perayaan tahun ini adalah bersempena dengan tahun harimau.

"Kami telah berhenti melakukannya selepas menerima nasihat daripada Jabatan Hidupan Liar," ujarnya.

Beliau menambah, pihak pengurusan hanya menyedari mengenai isu penggunaan harimau belang itu untuk tujuan fotografi menjadi bualan ramai selepas menerima beberapa aduan daripada orang-ramai pada 19 Mei baru-baru ini menerusi email.

Artikel Lain