suria

Segala-galanya Yang Pertama Tentang David Cameron...

David Cameron mencatatkan pelbagai sejarah yang pertama. - Foto REUTERS
David Cameron mencatatkan pelbagai sejarah yang pertama. - Foto REUTERS
David Cameron mencatatkan pelbagai sejarah yang pertama. - Foto REUTERS

KHABARNYA, Perdana Menteri Britain yang baru, David Cameron mencatatkan pelbagai sejarah yang pertama. Mari kita lihat;

* Beliau adalah pelajar lepasan sekolah elit swasta Britain, Eton, yang pertama untuk kembali ke No. 10 Downing Street (kediaman perdana menteri) sejak tahun 1960an.

*Cameron juga adalah perdana menteri yang pertama mempunyai pertalian darah dengan Raja William IV - menjadikannya sebagai saudara jauh Ratu Elizabeth.

* Pada usia 43 tahun, beliau adalah perdana menteri termuda dalam tempoh 200 tahun iaitu sejak Robert Banks Jenkinson, Earl Kedua Liverpool yang menjadi perdana menteri pada tahun 1812.

* Beliau juga enam bulan lebih muda daripada Tony Blair ketika Blair menjawat jawatan perdana menteri pada tahun 1997.

* Cameron juga mencatat sejarah menjadi perdana menteri selepas Parlimen Britain tergantung untuk pertama kalinya sejak tahun 1974 berikutan tiada parti yang berjaya memperolehi majoriti jelas pada pilihan raya umum 6 Mei lalu.

* Beliau memimpin sebuah kerajaan campuran Britain yang pertama selepas Perang Dunia Kedua.

* Cameron mencatat sejarah dengan melantik seorang wanita Islam, Sayeeda Warsi dalam kabinetnya sekaligus menjadi wanita Islam pertama untuk menduduki jemaah menteri kabinet Kerajaan Great Britain.

* Sepertimana Blair, beliau juga mempunyai keluarga yang masih muda dan anak-anak yang masih kecil.

* Dilahirkan di London pada 9 Oktober 1966, Cameron berasal dari sebuah keluarga yang berada. Bapanya adalah seorang broker saham.

* Pada usia tujuh tahun, Cameron telah dihantar ke sebuah sekolah rendah eksklusif Heatherdown. Putera Edward dan Andrew adalah antara murid yang pernah belajar di situ.

* Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian menengah di Eton - mengikut tradisi keluarga Cameron.

* Lulus 12 subjek di peringkat O-level dan tiga A di peringkat A-level, iaitu dalam subjek sejarah, sejarah seni dan ekonomi- politik.

* Sebelum diterima belajar di Universiti Oxford, Cameron mengambil cuti selama setahun untuk mengembara ke beberapa tempat dan mencari pengalaman kerja untuk ahli parlimen Sussex dari Parti Konservatif, Tim Rathbone.

* Beliau kemudiannya menghabiskan masa selama tiga bulan di Hong Kong, bekerja dengan sebuah syarikat agen perkapalan dan kemudian mengembara dengan kereta api melalui Soviet Union dan Timur Eropah untuk kembali ke Britain.

* Di Oxford, cameron tidak terlibat langsung dalam politik kampus.

* Tutor Cameron di Oxford, Profesor Vernon Bogdanor menyifatkannya sebagai seorang yang mempunyai pemikiran yang moderat dan seorang yang bersikap wajar.

* Beliau memperolehi ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama.

* Jawatannya yang pertama sebagai penyelidik di Jabatan Penyelidikan Parti Konservatif melibatkan pasukan yang menasihati Perdana Menteri John Major.

* Malah John Major menyifatkan Cameron sebagai anak muda yang mempunyai masa depan dan sangat tenang dan mampu berfikir sewaktu dalam tekanan.

* Pada awal tahun 1990an, selepas menjadi penasihat kepada Setiausaha Dalam Negeri (Menteri Dalam Negeri) Michael Howard, Cameron menceburi bidang perhubungan awam dengan stesen televisyen ITV - menghabiskan masa selama tujuh tahun dalam bidang tersebut sebagai ketua komunikasi korporat.

* Dengan latarbelakang itu juga, beliau menjadi perdana menteri Britain yang pertama pernah memegang jawatan sebagai ketua komunikasi korporat sebuah syarikat swasta.

* Cameron menolak pelawaan untuk maju dengan lebih cemerlang dalam bidang komunikasi korporat apabila beliau memutuskan untuk menyertai politik sepenuh masa.

* Percubaan pertamanya sebagai calon pada pilihan raya 1997 menemui kegagalan.

* Empat tahun kemudian iaitu pada tahun 2001, beliau mencuba nasib untuk kali yang kedua kali ini untuk kerusi di Oxfordshire, dan menang.

* Pendakian politik Cameron selepas itu menacak dengan pantas mula-mula berkhidmat dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Dalam Negeri dan kemudian menjadi setiausaha (bayang-bayang) pendidikan untuk Parti Konservatif.

* Pada tahun 2005, beliau diberi tanggungjawab berat untuk menderaf manifesto Parti Konservatif.

* Pada tahun 2005 juga dalam konvensyen Parti Konservatif, Cameron terpilih sebagai pemimpin baru parti itu selepas menyampaikan ucapan tanpa melihat teks ucapannya selama berjam-jam.

* Beliau seorang yang tidak gemar kepada visi yang besar tetapi menyifatkan dirinya sebagai seorang yang praktikal dan pragmatik.

Ringkas, Padat dan Peribadi Bersama David Cameron, Perdana Menteri Britain Yang Baru...

Umur: 43

Keluarga: Berkahwin dengan Samantha dan mempunyai dua orang anak. Isterinya sedang sarat mengandung anak yang ketiga. Anak pertama Ivan, meninggal pada tahun 2009.

Pendidikan: Eton dan Oxford (pengkhususan dalam falsafah, politik dan ekonomi)

Karier Politik:

1988: Berkhidmat di Jabatan Penyelidikan Parti Konservatif.

1992: Penasihat Khas kepada Bendahari Parti

1993: Penasihat Khas kepada hal ehwal dalam negeri bagi Parti Konservatif.

1997: Calon pilihan raya umum, kawasan Stafford.

2001: Terpilih sebagai ahli parlimen Witney, Oxfordshire.

2003: Naib Pengerusi Parti Konservatif.

2005: Setiausaha Pendidikan dalam kabinet bayang-bayang Parti Konservatif, terpilih sebagai ketua parti.

2010: Perdana Menteri Britain.

Jenis Muzik Diminati: Bob Dylan dan kumpulan rock indie seperti The Killers, The Smiths, Radiohead dan Pulp.

Buku Kegemaran: “Goodbye to All That” oleh Robert Graves, “Cider With Rosie” oleh Laurie Lee.

Filem: “Lawrence of Arabia”, “The Godfather”.

TV: “Porridge”, “Little Britain”, “costume dramas”, “Ashes to Ashes”.

New media: Ikuti blog-blog politik. Menggunakan Blackberry untuk urusan e-mail tetapi tidak meminati Facebook atau Twitter.

Destinasi Percutian Pilihan: Turki, Perancis dan Cornwall.

Makanan Pilihan: Sayuran-sayuran, kambing pangang dan sekali-sekala makanan goreng.

Sukan Pilihan: Penyokong setia Aston Villa, mengemari snooker dan dart.

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain