suria

Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Anwar Untuk Tangguh Perbicaraan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengenepikan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat yang dihadapinya sementara menunggu keputusan rayuan beliau berhubung penolakkan permohonannya bagi mendapatkan kenyataan saksi yang dibuat kepada polis oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh ketua pembangkang itu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya berkata keputusan beliau mengenepikan permohonan bagi mendapatkan kenyataan saksi itu semalam bersifat prosedur dan ia tidak boleh dibuat rayuan.

Katanya selain itu pihak pembelaan gagal menunjukkan sebarang keadaan khas bagi membolehkan penangguhan diberikan. Prosiding kemudiannya dihentikan sementara, dan ia akan bersambung dengan soal balas Mohd Saiful, 25, oleh ketua peguam Anwar, Karpal Singh.

Anwar, 63, yang merupakan ketua pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat, dituduh meliwat Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain