suria

Kastam Pantau Gaya Hidup Pegawai Sempadan, Elak Rasuah

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sentiasa memantau gaya hidup pegawai-pegawainya di sempadan negara dalam usaha membasmi aktiviti rasuah yang melibatkan jabatan itu.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Ibrahim Jaapar berkata, jabatan itu mempunyai satu pasukan khas untuk memantau pegawai-pegawai berkenaan dan laporan akan dibuat dari semasa ke semasa.

"Selain itu, kita juga menggunakan sistem giliran supaya seseorang pegawai itu tidak berada dalam sesuatu kawasan terlalu lama bagi mengelakkan gejala rasuah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat kedua peringkat tertinggi JKDM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Ibrahim berkata, melalui mesyuarat itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama bagi mengawal pintu masuk dan kawasan-kawasan sempadan negara bagi menangani isu-isu seperti curi kereta dan penyeludupan termasuk penyeludupan manusia.

Beliau berkata, tumpuan keselamatan juga akan diberi terhadap tiga lapangan terbang antarabangsa dalam negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi menangani kes penyeludupan dadah.

Mesyuarat juga bersetuju menubuhkan jawatankuasa kerja bagi Operasi Penguatkuasaan, Latihan Bidang Kebersamaan, Tindakan Di Bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 serta Aktiviti Sosial dan Sukan, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis mendapati terdapat trend membawa wang keluar dari negara secara haram yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, ia melibatkan wang hasil perniagaan haram seperti penyeludupan manusia dan pelacuran.

"Ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Kastam dan Bank Negara dan setiap agensi perlu mengawasi perkara ini kerana ia boleh merosakkan ekonomi negara selain melibatkan aspek jenayah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain