suria

Kerabat Diraja Tersinggung Layanan UTK Terhadap Sultan Kelantan

KOTA BARU: Seorang kerabat diraja Kelantan tersinggung dengan layanan kumpulan anggota pihak berkuasa yang lengkap bersenjata semasa mengiringi Sultan Kelantan dan Raja Perempuan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dekat sini Selasa lalu.

Beliau mendakwa pihak berkuasa yang dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) itu bertindak secara tidak wajar terhadap Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid serta pengiring baginda.

"Pasukan bersenjata itu tak ada otak, mereka mungkin guna cip yang diprogramkan dalam otak mereka kerana bertindak tegas mengikut arahan tanpa sifat berperikemanusiaan dan rendah hati.

"Kedua-dua baginda dan pengiring bukannya penjenayah tapi tetap dilayan begitu," katanya yang enggan namanya disiarkan di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai insiden yang berlaku pada Selasa lalu apabila Sultan Kelantan yang cuba dibawa keluar ke Singapura untuk menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth menggunakan pesawat sewa khas dan pesawat komersial dilaporkan telah dihalang oleh pihak berkuasa.

Situasi di HUSM juga kecoh apabila Wad Diraja di tingkat lapan hospital itu dikawal ketat polis atas titah Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra demi menjaga keselamatan dan kesihatan ayahandanya.

Sesiapa juga termasuk kerabat diraja Kelantan perlu mendapat kebenaran Pemangku Raja untuk melawat Tuanku Ismail.

Sehubungan itu kerabat diraja berkenaan merayu supaya semua pihak bertenang dan dengan tegas mengatakan isu yang berlaku itu adalah hal dalaman keluarga diraja.

"Orang-orang luar sama ada yang dilantik atau yang sudi untuk membantu tak perlu masuk campur dalam hal ini dan biarkan keluarga diraja selesaikan sendiri masalah berkaitan kesihatan Sultan Kelantan," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain