suria

Kes Aminulrasyid: Panel Khas Mahu Perkara Tidak Konsisten Diselesaikan

PUTRAJAYA: Panel khas yang memantau siasatan insiden tembakan terhadap seorang remaja 14 tahun, Aminulrasyid Amzah mahu polis menyelesaikan perkara tertentu yang tidak konsisten dalam kes itu.

Bagaimanapun, Pengerusi Panel dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop enggan menyatakan perkara yang tidak konsisten itu.

“Terdapat beberapa perkara yang tidak konsisten dalam sesuatu kes yang perlu diselesaikan oleh pihak polis. Ini amat penting kerana kita semua mahu kebenaran di seballik kejadian yang berlaku dan akan memastikan ia benar-benar telus.

“Kami tidak mahu masyarakat membangkitkan sebarang isu mengenai hal ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kedua panel berkenaan di sini semalam.

Difahamkan antara perkara yang dimaksudkan Abu seman itu ialah insiden Aminulrasyid mengundurkan kereta ke arah sekumpulan polis dan penemuan parang di dalam but kereta.

Aminulrasyid ditembak mati apabila dia dikatakan cuba mengundurkan kereta dan memandu laju ke arah salah seorang polis di Seksyen 11, Shah Alam pada 26 April lepas.

Kejadian pada pukul 2 pagi itu berlaku selepas dia bergesel dengan kenderaan lain, memandu laju dan melanggar beberapa lampu isyarat sebelum ditahan kereta peronda.

Mesyuarat itu dihadiri ahli panel termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ahmad Fuad Aziz dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli), Datuk Dr Michael Yeoh, aktivis, Datuk Dr Denison Jayasooria dan peguam, Datuk Seri Muhammad Shafee, masing-masing ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Dua lagi anggota panel yang hadir adalah Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Datuk Abd Halim Sidek dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi.

Abu Seman turut memberitahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang merupakan pemangku Menteri Dalam Negeri akan mengarahkan panel untuk menyediakan laporan awal yang akan diserahkan kepada Kabinet minggu depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika ini berada di luar negara dan dijangka pulang pada Selasa depan.

Sama ada laporan panel akan dimaklumkan kepada umum, Abu Seman berkata, ia bergantung kepada Menteri Dalam Negeri untuk menentukannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain