suria

Kami Yakin Tapi Perlu Kerja Keras: Muhyiddin

SIBU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional mampu mencatat kejayaan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu 16 Mei ini tetapi pada masa yang sama menegaskan mengenai perlunya semua untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN.

"Keyakinan kami adalah berdasarkan rekod BN menguasai kerusi ini selama lima penggal. Ini merupakan kubu BN.

"Semangat semua anggota juga adalah tinggi manakala penyandang kerusi ini mendiang Datuk Robert Lau hoi Chew telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya

Wong See Meng mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil itu di Dewan Suarah di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap pilihan raya kecil amat penting kepada BN "untuk menilai tahap penerimaan rakyat dan menghargai semua yang ia (BN) telah lakukan".

"Dan kami tidak pernah menganggap mana-mana pilihan raya kecil sebagai mudah untuk dimenangi. Sibu juga tidak terkecuali dengan lebih 50,000 pengundi yang tinggal berselerak di kawasan yang luas ini.

"Kami telah gerakkan semua jentera pilihan raya di setiap peringkat. Saya telah arahkan jentera pilihan raya pusat bergerak secara efisien. Mereka tidak harus terhalang oleh mana-mana masalah dalaman," katanya.

Muhyiddin berkata, tempoh seminggu akan datang adalah amat kritikal dan penting.

"Kami tahu apakah isu yang akan dieksploitasi oleh pembangkang. Kami akan memberikan penjelasan secara baik dan bukannya "menyerang balik" demi pengundi yang kurang jelas mengenai isu berkenaan.

"Saya juga telah turun padang. Terdapat perkara-perkara tertentu yang kami perlu teliti. Kami akan merumuskan perancangan lebih baik demi kebaikan rakyat tanpa mengira siapa dan di mana mereka. Sibu masih boleh membangun dan makmur," katanya.

Kepada satu soalan, Timbalan Perdana Menteri berkata, BN tidak gentar berdepan dengan pakatan pembangkang dalam pilihan raya kecil di negeri ini kerana ini bukan kali pertama.

"Kami bertanding dengan mereka di (pilihan raya kecil) Batang Ai dan kami menang. Bagi saya ini menunjukkan konsep BN masih diterima kerana ia sesuai bagi semua kaum," katanya.

Muhyiddin juga menekankan bahawa sokongan semua kaum dan bukannya Bumiputera sahaja adalah penting kepada BN untuk menang.

"Pengundi adalah "raja" dalam semua pilihan raya. Kita perlu tahu bagaimana untuk memenuhi keperluan mereka tanpa mengira kaum dan agama," katanya semasa ditanya jika BN masih perlu bergantung kepada Bumiputera untuk menang di Sibu.

Sementara itu, semasa ditemui selepas sidang akhbar itu, calon BN Robert Lau Hui Yew, 48, berkata beliau yakin untuk menang.

Pada pilihan raya kecil itu, beliau ditentang calon DAP Wong Ho Leng, 50, dan calon Bebas Narawi Harun, 60, bekas tentera dan kini ahli perniagaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain