suria

Tiga Warga Indonesia Didakwa Culik Ahli Perniagaan

MELAKA: Tiga lelaki warga Indonesia berusia 20-an didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan dan meminta wang tebusan RM300,000 daripada isteri mangsa pada bulan lepas.

Purwanto, Detik Kustiawan, dan Sahri mengikut pertuduhan telah menahan seorang ahli perniagaan, Gun Soon Huat, 43. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Apartmen Kiara, Batu Berendam, di sini pada 12 April dengan niat meminta wang tebusan daripada isteri mangsa, Liaw Siew Lan, 38, sebanyak RM300,000.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Jika disabitkan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan.

Sejurus dibacakan tuduhan, semua tertuduh mengangguk faham, namun tiada pengakuan dicatatkan di hadapan Majistret Mohd Fairuz Johari.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abdul Rahman Sidik.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Julai depan untuk pihak pendakwaan melengkapkan laporan kimia, forensik dan DNA. -BERNAMA

Artikel Lain