suria

Telus Lantik Teraju GLC

POLEMIK mengenai kerugian besar RM227 juta - awalnya RM546 juta - yang dialami Pos Malaysia Berhad, syarikat milik kerajaan (GLC) ternyata membimbangkan rakyat, malah menjejaskan kepercayaan mereka terhadap sistem pengurusan persyarikatan milik kerajaan.

Timbul pertikaian mengenainya meskipun Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin sudah menjelaskan ia berpunca daripada pelaburan dalam syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara, Transmile Group Berhad.

Ketidaktentuan itu wujud berikutan setiap urus niaga GLC membabitkan wang rakyat, maka ia seharusnya digunakan bagi tujuan mendapatkan pulangan yang positif.

Di manakah dasar kepimpinan kerajaan sekiranya syarikat yang dinakhoda dalam sektor teras ekonomi itu mengalami kerugian besar?

Percaturan tersebut sekaligus merugikan rakyat kerana pelaburan yang digunakan GLC membabitkan wang mereka.

Antara lain adalah sama ada pelantikan jawatan tertinggi itu benar-benar berdasarkan kepakaran bukan kepentingan tertentu.

Justeru, pelantikan jawatan seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi GLC perlu telus kerana peranannya mengetuai syarikat sepatutnya memanfaatkan rakyat.

Cadangan supaya kriteria pemilihan CEO perlu dikaji semula amat bertepatan bagi memastikan masa depan syarikat kerajaan terjamin.

Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir semalam menjelaskan kajian berhubung kaedah pelantikan bertujuan untuk memastikan tiada individu memegang jawatan penting serentak.

“Pelantikan itu harus berdasarkan kepakaran dan bukan kerana kepentingan. Kaedah ini dapat memastikan individu yang diamanahkan itu menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Kenyataan Musa itu turut merujuk kepada kerugian besar yang ditanggung oleh Pos Malaysia.

“Bagi saya, walaupun hanya RM1 kerugiannya, ia tetap satu kerugian besar kepada rakyat,” katanya.

Oleh itu, GLC seharusnya menjadikan objektif korporat mengutamakan kepentingan rakyat tanpa berpandukan keuntungan semata-mata.

Peranannya juga memperkasakan ekonomi dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Standard itu perlu setaraf dengan keupayaan peneraju dan penanda aras kejayaan, maka pemilihan mereka sebagai CEO harus tepat dan benar-benar layak.

Setiap pelantikan bertujuan untuk mengukuhkan pembangunan syarikat, namun ketelusan menjadi penentu ke arah mencapai matlamat.

Ia bukan sahaja menguntungkan GLC, malah mengangkat kredibiliti dan kewibawaan kerajaan dalam kepimpinan secara menyeluruh demi rakyat.

Artikel Lain