suria

Lelaki Ditemui Mati Dengan Kesan Kelar Ditangan

IPOH: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kelar di tangan kiri dan calar pada leher oleh beberapa penduduk di perkampungan Orang Asli di Kampung Tonggang, Tanjung Rambutan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata mayat itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan pada kira-kira pukul 8.30 pagi, yang kemudiannya membuat laporan kepada polis di Balai Polis Tanjung Rambutan.

Beliau berkata lelaki yang belum diketahui identiti itu ditemui berhampiran dengan sebatang anak sungai kira-kira 1.5 kilometer dari jalan utama kampung terbabit.

"Lelaki itu dianggar berusia lingkungan 35 tahun dipercayai berketurunan India, lengkap berpakaian baju T-shirt berwarna biru gelap dan seluar jeans," katanya ketika dihubungi di sini.

Azisman berkata lelaki itu dipercayai dibunuh kurang dari 24 jam sebelum ditemui orang awam pagi ini.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat, dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dengan menelefon 05-245 1562 bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain