suria

RM1 Bilion Bantu Rakyat Kelantan Keluar Dari Miskin Tegar

KOTA BHARU: Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) memperuntukkan RM1 bilion bagi membantu rakyat di negeri ini keluar daripada kepompong miskin tegar, kata Pengarahnya, Makhtar Mustapha.

Beliau berkata, sehingga kini 1,184 penduduk negeri ini diisytiharkan keluar daripada miskin tegar berbanding 3,507 yang dikesan dan dikenal pasti.

"Hampir 2,500 orang lagi dijangka keluar daripada miskin tegar sebelum menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat tiga kawasan yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan dalam bandar di sini semalam.

Pada lawatan tersebut Makhtar dan beberapa kakitangan JPPK yang terlibat, turut sama melihat perkembangan program itu di samping menghulurkan sumbangan kepada mereka yang terlibat di Jalan Bayam dan Kampung Wakaf Mek Zainab dekat sini.

Beliau berkata, antara beberapa bantuan yang disalurkan melalui JPPK di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ialah bantuan rumah, latihan kemahiran dan bina insan, bantuan dari segi kecemerlangan pelajar, pembangunan masyarakat setempat dan peningkatan pendapatan.

Beliau berkata, di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, JPPK turut memberi bantuan am kepada kanak-kanak, orang tua, orang kelaiana upaya (OKU) dan pesakit kronik.

"Untuk program pembasmian kemiskinan dalam bandar, kami memberi bantuan seperti tambang bas sekolah, sewa rumah, ibu tunggal dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, bantuan peralatan seperti mesin rumput, mesin jahit, peralatan membuat kuih-muih, mesin tebu serta motor roda tiga turut diberikan bagi membantu peniaga sayur dan ikan meneruskan perniagaan masing-masing.

Selain itu Makhtar berkata, JPPK turut menyediakan peruntukan untuk projek ekonomi seperti ternakan lintah, itik telur, cendawan, cili dan pelbagai lagi bagi meningkatkan pendapatan rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain