suria

Lepasan PMR Mungkin Dibenarkan Ikuti Pendidikan Vokasional

PARIS: Kementerian Pelajaran akan meneliti balik pendekatan pengambilan pelajar dalam bidang vokasional dan teknikal dengan mengenal pasti mereka yang berminat daripada peringkat lebih awal selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan akan memberi perhatian kepada mereka yang cendorong dalam bidang berkenaan supaya disalurkan ke sekolah vokasional atau teknikal selaras dengan Model Ekonomi Baru.

"Ini adalah satu bidang yang baik dan mungkin kita boleh bekerjasama dengan Perancis untuk sektor vokasional dan teknikal bagi menampung keperluan tenaga separuh dan sepenuh mahir pada masa akan datang," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke sini hari ini.

Muhyiddin, yang berada di sini bagi menghadiri mesyuarat ke-184 Lembaga Eksekutif Unesco di ibupejabat Unesco di sini, turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran Perancis Luc Chatel.

Katanya, Malaysia mungkin akan mengambil pendekatan yang hampir sama dengan Perancis, di mana 50 peratus pelajar akan masuk ke saluran berkenaan, satu aspek yang agak luar biasa.

Keadaan itu berbeza di Malaysia, yang mengambil hanya 10 peratus daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, yang terdiri daripada kelompok yang gagal pada tahun lepas, katanya.

"Walaupun ramai yang berminat tetapi kapasiti terbatas kerana sekolah vokasional belum banyak dibangunkan," katanya sambil menjelaskan bahawa bidang tersebut berkaitan dengan masa depan industri negara.

Muhyiddin berkata, bahawa hasil perbincangan beliau dengan Chatel, satu memorandum persefahaman dijangka dimeterai oleh kedua-dua negara nanti untuk mengambil guru atau instruktor bahasa Perancis untuk mengajar di institut pendidiksn guru di Malaysia.

"Saya telah mendapat banyak maklumat tentang beberapa langkah dan dasar yang Perancis sedang ambil, terutamanya mereka baru hendak memperkenalkan sekolah berasrama bagi pelajar cemerlang di kalangan orang miskin," katanya.

Kini 420 pelajar Malaysia sedang mengikuti pelbagai kursus termasuk bidang kejuruteraan dan perubatan di Perancis. - BERNAMA

Artikel Lain