suria

Dua Penjawat Awam Didakwa Buat Tuntutan Palsu RM34,700

LABUAN: Dua penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM34,700 untuk dua kerja yang tidak pernah dilaksanakan ketika berkhidmat di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan, dua tahun lepas.

Shahrunizam Mashkor, 36, yang kini berkhidmat di Ibu Pejabat JPS Kuala Lumpur dan Rahimah Abdul Rashid, 46, yang kini berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Labuan, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Shahrunizam ketika itu ialah Pengarah JPS Labuan, dan Rahimah kakitangan jabatan itu, didakwa membuat tuntutan palsu sebanyak RM16,500 bagi bayaran kerja Pembaikan Kemudahan Pengairan iaitu kerja mengorek dan mendalamkan muara Sungai Batu Manikar pada 18 Mac 2008 di JPS Labuan pada bulan yang sama.

Kedua-dua mereka juga didakwa membuat tuntutan palsu sebanyak RM18,200 bagi bayaran kerja pembaikan kemudahan pengairan iaitu kerja mengorek dan mendalamkan muara Sungai Miri pada 13 Mac 200 di tempat dan pada bulan yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 11( c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, jika sabit kesalahan.

Hakim Ismail Ibrahim membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 10 Mei bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Awang Samsul dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain