suria

Nik Aziz Tidak Setuju Cadangan Sidang Khas DUN Bincang Krisis Istana Kelantan

MACHANG Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan cadangan diadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membincangkan dan menyelesaikan konflik istana Kelantan.

Beliau berkata tindakan sebegitu hanya akan memburukkan lagi keadaan kerana krisis itu melibatkan soal teknikal dan ia perlu diselesaikan secara berhikmah.

"Isu berkaitan (istana) sangat sensitif yang menyentuh perasaan orang Melayu dan ia perlu diselesaikan cara diam (baik)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kilang Nutraseutikal dan pemeterian perjanjian antara Kelantan Biotech Corp Sdn Bhd dan Global Biotech Produce Sdn Bhd di Labok di sini, hari ini.

Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan agar sidang khas DUN diadakan bagi membincangkan kemelut yang sedang melanda istana Kelantan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata kalau krisis itu gagal diselesaikan secara berhemah, kerajaan negeri akan menggunakan perlembagaan negeri untuk menyelesaikannya.

Beliau meminta rakyat Kelantan sentiasa berdoa agar krisis itu selesai secepat mungkin.

Disamping itu Nik Abdul Aziz turut mengajak rakyat mendoakan kesihatan Sultan Kelantan supaya baginda cepat sembuh daripada kegeringan.

"Pada pandangan saya, tuanku masih gering dan masih memerlukan masa yang secukupnya untuk sihat seperti biasa," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain