suria

Kempen Tidak Menjadi Jika Beg Plastik Dijual, Kata Fomca

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan Selangor agar mengkaji semula caj pembayaran beg plastik sebanyak 20 sen untuk program kempen pengurangan penggunaan beg plastik kerana ia nyata hanya menguntungkan peniaga.

Penasihat Fomca Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan berkata sekiranya kerajaan negeri mahu menjayakan program tersebut, mereka harus mencari kaedah lain yang lebih sesuai.

"Kami sokong kempen pengurangan menggunakan plastik untuk satu hari (hari Sabtu), tetapi apabila ada pihak peniaga yang mengambil kesempatan dengan menjual plastik tersebut dan mendapat keuntungan, kami rasa ia akan mencemarkan kempen itu sendiri.

"Mereka (peniaga) kata kalau nak plastik kena beli... hari Sabtu tak bagi free, kempen anti guna plastik, macam mana anti pula... dia orang buat duit dengan jual plastik.

"Bayangkan kalau sehelai plastik berharga 20 sen, kalau 5,000 orang yang beli sehari dah berapa banyak untung... ia seolah-olah nak bagi keuntungan kepada peniaga pada hari tertentu sahaja," katanya.

Pelaksanaan "hari tanpa beg plastik" di Selangor bermula 9 Januari lepas pada Sabtu bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna awam terhadap kesan negatif penggunaan beg plastik terhadap alam sekitar.

Mohd Hamdan seterusnya mencadangkan penggunaan beg daripada bahan "biogradable" seperti yang diperbuat daripada kayu dan juga rotan untuk menjayakan kempen tersebut.

Menurutnya pengguna pula seharusnya mengamalkan tabiat membawa beg sendiri dari rumah semasa membeli barangan.

Mohd Hamdan mencadangkan agar semua kerajaan negeri di Malaysia turut membuat program seperti yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor yang telah pun disertai Pulau Pinang. - BERNAMA

Artikel Lain