suria

Penunggang Motosikal Terbunuh Digilis Kereta Elak Lori Rosak

BUTTERWORTH: Seorang lelaki terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya terjatuh ketika cuba mengelak sebuah lori yang berhenti di bahu jalan sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah belakang di Kilometer 127 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di sini pagi ini.

Dalam kejadian 7.50 pagi berhampiran Sungai Dua di sini, mangsa Dzul Mohamad, 27, maut di tempat kejadian akibat digilis kereta dari arah belakang sehingga mengalami kecederaan parah di badan serta kepala.

Pegawai Turut Trafik Pulau Pinang DSP Wari Kiew berkata semasa kejadian mangsa yang berasal dari Sungai Petani, Kedah dalam perjalanan ke tempat kerja di Perai.

"Mangsa dipercayai cuba mengelak lori di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan sebelum terjatuh dan dirempuh sebuah kereta dari arah belakang," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya pemandu kereta yang melanggar mangsa melarikan diri dan polis sedang mengesan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan berkenaan.

Wari berkata siasatan awal mendapati lori treler yang dalam perjalanan dari Alor Star ke Pulau Pinang itu mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan di situ.

"Kita sedang mengesan kereta yang melanggar lelaki berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Ekoran kejadian itu, ratusan pengguna lebuh raya berkenaan terperangkap dalam kesesakan kira-kira lima kilometer sebelum tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain