suria

Rakyat Dapat Nilai Segala Tindak Tanduk Anwar, Kata Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat mampu menilai segala tindak-tanduk Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini termasuk rancangan "16 September" untuk mengambil alih kerajaan.

Walau apa sekalipun, pada akhirnya kebenaran akan timbul juga yang boleh dinilai oleh rakyat, kata Perdana Menteri.

Najib berkata demikian ketika ditanya tindakan Anwar semalam di sidang Parlimen dengan meminta dirinya tidak dikaitkan dengan rancangan "16 September" itu serta bertindak keluar dewan.

Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi wakil bebas, semalam mendedahkan rancangan "16 September" Anwar yang menyakinkan Anggota Parlimen pembangkang bahawa Yang di-Pertuan Agong merestui beliau sebagai Perdana Menteri.

Zahrain juga mendakwa bahawa dalam rancangan 2008 itu, Anwar memperalat, mempermain dan membohongi Anggota Parlimen pembangkang kononnya jumlah wakil Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti sudah mencukupi untuk membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

"Kamu dapat membuat kesimpulan sendiri apa jenis manusia dia ini. Apa yang telah dia lakukan, apa yang telah dia buat dan ini semua seharusnya dapat dinilai oleh rakyat.

"Sebab saya percaya macam manapun kebenaran pada akhirnya akan timbul dan akan melenyapkan sebarang kebatilan," kata Najib.

Terdahulu Najib merasmikan bilik pameran kereta Audi di sini. - BERNAMA

Artikel Lain