Pakatan Label Zahrain Tentera Upahan BN - Semasa | mStar

Pakatan Label Zahrain Tentera Upahan BN

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) hari ini membalas ‘serangan’ Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dengan melabelkan wakil rakyat terbabit sebagai tentera upahan Barisan Nasional (BN) berhubung pendedahannya mengenai kegagalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih Kerajaan Pusat pada ‘16 September’ 2008.

Tetapi serangan balas itu bukan di dalam dewan sebaliknya melalui satu sidang media di Parlimen.

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasuiton mendakwa bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu telah ‘diupah’ oleh BN untuk menyerang PR di Parlimen.

“Dalam tempoh dua tahun menjadi Ahli Parlimen, Zahrain tidak pernah berbahas dalam usul ucapan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong ataupun pembentangan bajet sama ada di peringkat polisi atau jawatankuasa.

“Tetapi kali ini dia tampil dengan prestasi yang mendadak. Kita percaya bahawa dia berubah kerana sudah menjadi tentera upahan BN,” katanya di lobi Parlimen hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zahrain dalam usul ucapan sulung titah menjujung kasih Yang di-Pertuan Agong semalam.

Dalam ucapannya, Zahrain mendakwa Anwar membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya Ahli-Ahli Parlimen BN yang akan melompat parti menyertai pembangkang lebih daripada mencukupi.

Wakil rakyat Bebas itu turut mendedahkan bahawa Anwar menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam usaha melaksanakan rancangan mengambil alih Kerajaan Pusat. Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata PR percaya apa yang diperkatakan oleh Zahrain mengenai rancangan 16 September itu adalah satu pembohongan yang direka oleh wakil rakyat itu sendiri.

“Kenyataan ini satu pembohongan yang direka oleh dia sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan bahawa PR tidak akan terkalih daripada berdepan dengan BN sebagai musuh politik nombor satu mereka.

“Ini adalah musuh kita. Sekarang kita berhadapan dengan pasukan tentera upahan yang cuba menyekat usaha kita.

“Fokus kita tidak akan terkalih, kita akan hadapi mereka satu persatu-satu. Saya anggap mereka sebagai ancaman kecil sahaja,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain