Polis Rampas 145 Senjata Api Mainan - Semasa | mStar

Polis Rampas 145 Senjata Api Mainan

KUALA LUMPUR: Polis merampas senjata api mainan yang terdiri daripada 145 pistol serta senapang pelbagai jenis buatan China yang menyerupai senjata api sebenar, selepas menyerbu sebuah premis perniagaan di Times Business Plaza di Jalan Klang Lama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata seorang wanita berumur 21 tahun yang menjadi 'penjaga' premis itu turut ditahan dalam serbuan itu.

Beliau berkata bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan polis dari unit risikan dan operasi cawangan Brickfields menyerbu premis itu pada kira-kira pukul 3.45 petang.

"Dalam serbuan itu polis merampas tujuh laras senapang jenis Air Sport Gun, 54 pucuk pistol jenis Yes Heng, 15 pistol Air Hand Gun Accuracy, 15 pistol Air Hand Gun, 28 pistol Cong Le Air Gun, 13 pistol Yes Heng dan 13 laras Pump Gun jenis Okwanju.

"Turut ditahan ialah penjaga premis itu, yang merupakan wanita berusia 21 tahun yang berasal dari Skinchan, Selangor," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Wan Abdul Bari berkata senjata api mainan itu adalah buatan China yang dibawa masuk dari negara jiran dan dijual dengan harga dari RM15 hingga RM35 di premis tersebut.

"Polis juga sedang menyiasat sekiranya pemilik premis itu terlibat dengan penjualan senjata mainan ini," katanya dan menambah kes sedang disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 bagi kesalahan penjualan senjata api tiruan.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, ia boleh membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain