suria

Mayat Lelaki Dipercayai Dibunuh Ditemui Dalam Longkang

KUANTAN: Mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh ditemui polis dalam keadaan tertiarap di dalam longkang di Kilometer 54.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong pada Sabtu lepas.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, mayat lelaki yang belum diketahui identiti itu ditemui sepasukan peronda polis ketika melakukan rondaan di laluan Kuala Lumpur-Bentong pada 3.25 petang.

"Mayat lelaki dipercayai berbangsa Cina itu dipercayai berada di situ sejak tujuh hari lalu," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Katanya ketika ditemui, mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu memakai baju kemeja lengan panjang berwarna gelap berjalur berjenama Seeds dan berseluar biru gelap jenama Renoma.

"Mayat lelaki itu telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat patah tulang rusuk di sebelah kiri dan kanan akibat dihentak dengan objek tumpul," katanya.

Katanya, polis mengklasifikasi kes tersebut sebagai bunuh dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2222222 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain