suria

Lelaki Mati Lemas Mandi Di Sungai Pahang

BERA: Seorang lelaki ditemui mati lemas setelah hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Papan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Supritendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, dalam kejadian 2.45 petang itu, mangsa Affandi Mohamad Noor, 20, bersama empat rakannya berusia 17 hingga 20 tahun ke sungai tersebut untuk mandi selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di kampungnya di Bukit Serdang.

Beliau berkata, empat rakan mangsa kemudian naik ke tebing, namun Affandi terus mandi di sungai itu.

"Tidak lama kemudian rakan-rakannya mendapati mangsa telah hilang dipercayai lemas," katanya di sini, hari ini.

Katanya, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu melakukan gerakan mencari dan menyelamat bersama pasukan bomba dan orang ramai selain memasang jaring di sekitar kawasan kejadian.

"Mayat mangsa ditemui tersangkut pada jaring empat jam kemudian, kira-kira 30 meter dari kawasan mangsa mandi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain