suria

PAS Tolak Zulkifli

PETALING JAYA: PAS tidak akan menerima kemasukan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin untuk menyertai parti itu kerana ia akan mendatangkan masalah dan mencalarkan imej parti.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, penyertaan bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak akan memberi kebaikan kepada PAS malah memberi imej buruk kepada parti itu.

"Saya tidak melihat apa-apa yang dapat membantu untuk meninggikan imej PAS dengan kehadiran Zulkifli ke dalam PAS.

"Malah bagi saya ia akan memberikan lebih banyak keburukkan dan mecalarkan nama baik PAS," katanya ketika di temui selepas sidang media Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Mahfuz juga menegaskan pendirian tersebut selaras dengan prinsip dan etika yang diamalkan PAS bagi menjaga hubungan baik antara parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

"PAS ada etika dalam perhubungan kerjasama dan persefahaman dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS tidak akan dapat menerima Zulkifli kerana jika kita terima bermakna kita tidak menghormati keputusan lembaga disiplin PKR, ia juga bermakna kita mengekalkan permasalahan disiplin dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Kenyataan Mahfuz itu ternyata bertentangan dengan kenyataan seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu sedia membuka pintu kepada Zulkifli untuk menyertai mereka.

Semalam Tuan Ibrahim berkata, PAS akan mempertimbangkan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS jika beliau mahu mendokong prinsip dan perjuangan parti itu.

Mengulas mengenai kenyataan bertentangan itu, Mahfuz berkata: "Saya rasa kenyataan Tuan Ibrahim tidak harus dipolemikkan.

"Saya juga tidak tahu sejauh mana kebenaran kenyataan itu."

Mahfuz turut menegaskan PAS tidak akan mempertimbangkan langsung jika Zulkifli mengemukakan permohonannya.

"Kita tidak wajar menerima... tidak akan dipertimbangkan langsung," tegasnya.

Diminta megulas mengenai entri terbaru Zulkifli melalui blognya bahawa beliau akan berjumpa dengan pimpinan PAS bagi membincangkan mengenai penyertaannya ke dalam PAS, Mahfuz berkata: "Saya tidak tahu, kenapa dia tak beritahu saya."

Sabtu lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sebulat suara memecat Zulkifli selepas lembaga disiplin parti itu mengambil kira tindakannya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain