suria

Suri Rumah Cedera Dakwa Diserang Penghulu

KOTA BAHARU: Angkara sebuah enjin air, seorang suri rumah cedera teruk dan mendakwa diserang bertubi-tubi oleh seorang penghulu bersama anak perempuan lelaki berkenaan di Jalan Khatib Ali dekat sini pada Rabu lalu.

Zarina Ismail, 45, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, dia bersama suaminya, Mohd Rawi Yusof, 63, ke rumah sewanya yang disewa penghulu itu di Jalan Khatib Ali untuk mengambil enjin air lama yang didakwa telah rosak. Enjin air itu diguna untuk mengepam air di perigi.

"Sebelum ini penghulu itu pernah meminta enjin air dengan saya kerana enjin airnya rosak. Disebabkan permintaannya itu saya mengambil keputusan ke rumah sewa saya untuk menyerahkan enjin air yang lain kepadanya.

"Belum sempat enjin berkenaan diserahkan, penghulu tadi tiba-tiba menumbuk muka saya menyebabkan saya terjatuh dalam pada itu juga saya dihentak dengan menggunakan topi keledar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Jalan Seri Cemerlang, dekat sini hari ini.

Zarina mendakwa lebih teruk apabila dia terjatuh lelaki berkenaan memijak leher dan menendang dadanya selain anak perempuan lelaki itu turut menarik rambutnya.

Mangsa mendakwa suaminya yang berada bersamanya ketika itu tidak dapat membantu kerana dipercayai anak lelaki penghulu yang berusia 20-an juga turut menyerang suaminya.

Zarina berkata, akibat pergaduhan itu, dia cedera teruk apabila mulutnya pecah dan beberapa bahagian badannya termasuk kepala dan tangan cedera dan bengkak sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Katanya dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu pada petang kejadian.

Zarina berkata, penghulu berkenaan menyewa rumahnya sejak 10 tahun lalu bagaimanapun Mei tahun lepas mangsa mendakwa ada memberikan notis pindah rumah kepada suspek ekoran aduan yang diterima daripada jiran berhampiran. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain