suria

Lelaki Mati Lemas Dikejar Penduduk Kerana Mencuri

PANTAI REMIS: Seorang lelaki berusia 20-an mati lemas selepas terjun ke dalam Sungai Beruas di Kampung Tanjung Ara di sini, bagi mengelak dirinya ditangkap penduduk yang mengesyaki dia bersama seorang lagi rakannya mencuri di kampung itu.

Mayat lelaki yang belum dikenalpasti identiti itu ditemui di bawah jambatan kampung itu petang tadi selepas dilaporkan dihanyutkan air deras sungai dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Osman berkata siasatan awal mendapati lelaki itu dan rakannya ketakutan dan melarikan diri apabila dikejar penduduk kampung yang mengesyaki mereka mencuri dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang.

"Apabila dikejar, lelaki itu terjun ke sungai tetapi rakannya berjaya melarikan diri. Penduduk kampung cuba memujuk lelaki itu supaya naik ke darat kerana paras air sungai yang tinggi dan deras tetapi dia enggan sebelum hilang dibawa arus.

"Mayatnya ditemui di bawah jambatan di kampung itu, kira-kira 80 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat tenggelam timbul pada kira-kira jam 6.30 petang tadi," katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Jamil berkata operasi mencari dan menyelamat lelaki itu membabitkan Bomba dan Penyelamat Pantai Remis termasuk unit skuba, polis serta dibantu anggota Rela dan penduduk kampung.

Katanya pihaknya belum mengetahui identiti lelaki itu kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Lain