suria

Tujuh Warga Iran Ditahan Dalam Rampasan Syabu

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menggagalkan tiga lagi cubaan menyeludup dadah melibatkan tujuh warganegara Iran yang berumur 30-an hingga 40-an, termasuk seorang wanita, serta merampas syabu kira-kira 12 kilogram yang bernilai kira-kira RM3 juta.

Menurut sumber Bukit Aman, seramai empat warga Iran bersama seorang wanita telah ditahan pada pukul 3.45 petang kelmarin di lobi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ketika sedang menanti teksi limo untuk membawa mereka ke ibu negara.

Difahamkan wanita Iran bersama dua lagi rakan mereka menaiki penerbangan yang transit di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di KLIA.

"Sebaik tiba di Balai Ketibaan, mereka disambut oleh seorang lagi rakan lelaki mereka yang juga warga Iran dan siasatan lanjut yang dilakukan ke atas mereka, menemui lebih kurang lima kilogram syabu dalam dua buah beg pakaian yang dibawa, yang disorokkan di dalam satu ruang khas, " menurut sumber itu ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Beberapa jam selepas penahanan itu, polis kemudiannya membuat serbuan ke sebuah kondominium di Kota Damansara yang disewa oleh sindiket terbabit, dan hasil pemeriksaan polis menemui kira-kira tiga lagi kilogram syabu.

Berdasarkan risikan menurut sumber itu lagi, polis membuat dua lagi tangkapan hari ini yang melibatkan tiga lelaki Iran di lobi KLIA, penangkapan pertama melibatkan dua lelaki Iran pada pukul 9.15 pagi dengan merampas dua kilogram syabu.

Tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki Iran pada pukul 2 petang di tempat yang sama dengan rampasan dua kilogram syabu. Katanya, kesemua mereka yang memiliki dokumen perjalanan sah memasuki negara ini melalui tiket pelancong, dan kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Kesemua mereka dipercayai 'keldai dadah' yang diupah sindiket antarabangsa untuk pasaran serantau, katanya.

Beliau berkata siasatan terperinci sedang dijalankan, termasuk mengumpul segala maklumat berkaitan dalam usaha memburu saki baki sindiket berkenaan.

"Sindiket dipercayai beroperasi di pangsapuri mewah dan hotel ternama sekitar ibu negara untuk mengaburi kegiatan haram mereka. Mereka turut menyamar sebagai pelancong dan ahli perniagaan bagi memastikan identiti sebenar mereka tidak terbongkar," katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman Datuk Zulhasnan Najib Baharudin mendedahkan bahawa polis telah berjaya mematahkan sembilan kes penyeludupan dadah dipercayai Syabu melibatkan warga Iran dalam tempoh dua bulan ini dengan nilai rampasan kira-kira RM10.5 juta.

Hasil kerjasama dengan agensi risikan antarabangsa, 39 orang berjaya ditahan dan 34 orang adalah warga Iran yang merupakan tangkapan terbesar melibatkan warganegara tersebut.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan bergerak dalam kumpulan berasingan dengan memboloskan diri ke negara ini menggunakan pelbagai taktik termasuk dengan cara menelan dan menyorokkan dadah dalam beg pakaian. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain