suria

Felda Dapat Penangguhan Sementara Tunggu Permohonan Semakan Diputuskan

PUTRAJAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini memperoleh penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memerintahkan agensi itu membayar ganti rugi RM11 juta kepada 354 peneroka sementara menunggu permohonan semakan terhadap keputusan itu diputuskan.

Penangguhan itu dibenarkan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Raus Md Sharif.

Felda mengemukakan permohonan semakan itu mengikut Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan selepas ia gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan pada 19 Januari untuk merayu.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh pendengaran permohonan semakan itu.

Felda diperintah membayar ganti rugi kepada peneroka berkenaan berhubung pembayaran bagi buah kelapa sawit, yang didakwa oleh peneroka berkenaan telah dibayar pada harga kualiti lebih rendah oleh agensi itu, dari 1996 hingga 2002, mengakibatkan mereka menanggung kerugian.

Mahkamah Tinggi Kota Baharu memberikan award RM7.8 juta berserta faedah kepada peneroka terbabit selepas peguam yang mewakili agensi itu tidak hadir pada perbicaraan saman itu.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Peneroka berkenaan menyaman Felda pada 2002, masing-masing menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 sebagai ganti rugi am.

Mereka menamakan Felda, Pengurus Felda Kemahang 3 Ibrahim Ismail (yang telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam writ mereka, peneroka berkenaan mendakwa mereka mendapati wujud penipuan dan konspirasi dalam transaksi buah kelapa sawit pada September 2001.

Peneroka berkenaan diwakili pasukan peguam yang diketuai Yusfarizal Yussoff manakala Felda diwakili pasukan peguam yang diketuai Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain