suria

Tiga Rakyat Iran Ditahan, Dadah Bernilai RM13.6 Juta Dirampas

NILAI: Tiga rakyat Iran - dua wanita dan seorang lelaki - ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi kerana disyaki cuba menyeludup masuk dadah bernilai RM13.6 juta.

Pengarah Bahagian Siasatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Datuk Zainul Abidin Taib berkata kumpulan rakyat Iran itu tiba di KLIA dengan penerbangan EK342 dari Dubai ke Kuala Lumpur pada pukul 10 malam.

"Mereka membawa dua beg dan apabila diperiksa, kami menjumpai kristal dadah dan sebuah lagi beg mengandungi bahan kristal dan sedikit pakaian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik KDRM di sini hari ini.

Beliau berkata sejumlah 27.39 kilogram serbuk kristal disyaki syabu ditemui dalam beg pertama dan sebuah lagi beg mengandungi 27.15 kilogram serbuk kristal dipercayai syabu.

"Kedua-dua wanita itu berusia dalam lingkungan 40-an dan 20-an manakala lelaki yang mengiringi mereka pula berumur 40-an," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka kini direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

Zainul turut meminta orang ramai memberikan maklumat kepada pihak kastam mengenai aktiviti penyeludupan dadah melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau hubungi terus Pejabat Narkotik KDRM di nombor 06-7917792.

Ganjaran akan diberi kepada pemberi maklumat yang membawa kepada rampasan dan tangkapan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain