suria

Kenyataan Perkauman: Nasir Safar Mohon Maaf Secara Terbuka

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar, semalam memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia berhubung satu kenyataan yang dianggap bersifat perkauman.

Dalam satu kenyataan di sini, Nasir berkata beliau sedar mengenai pelbagai reaksi selepas ucapan yang dibuatnya pada seminar 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada Selasa lepas.

"Saya telah menjelaskan bahawa saya tidak berniat untuk membuat kenyataan berbaur perkauman atau menghina mana-mana kaum. Namun demikian, sesetengah pihak berpendapat sebaliknya dan saya telah meminta maaf atas sebarang kesalahan," katanya.

Nasir berkata beliau telah meletak jawatan sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengambil tanggungjawab akibat isu itu.

"Di sini, saya sekali lagi ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia di atas kenyataan tersebut yang dianggap perkauman, sesungguhnya saya tidak bersikap demikian," katanya.

Nasir berkata beliau yakin gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Najib merupakan pendekatan yang dapat membawa kesejahteraan dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain