suria

Lima Suspek Kes Pecah Kenderaan Di Kota Baharu Ditahan

KOTA BAHARU: Polis percaya berjaya melumpuhkan kegiatan pecah kenderaan di sekitar bandar ini yang berleluasa sejak beberapa bulan lepas dengan penahanan lima lelaki dalam tempoh dua minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Zahruddin Abdullah berkata dua daripada suspek ditahan semalam di sebuah kilang berlian di Lundang, dekat sini manakala tiga lagi ditahan di rumah masing-masing di sini dalam operasi yang dijalankan sejak 18 Januari lepas.

"Kesemua suspek merupakan orang tempatan dan berasal di sekitar bandar ini, berumur antara 28 tahun dan 33 tahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dua suspek yang ditahan semalam itu dipercayai terlibat dalam kes pecah kenderaan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Abdul Hadi Mohd Salleh semalam berikutan barangan peribadi Abdul Hadi seperti kad bank dan beberapa dokumen penting ditemui pada mereka, katanya.

Zahruddin berkata pelbagai aksesori komputer seperti tetikus dan disket, pemain video, telefon bimbit dan wang tunai dirampas daripada tiga lagi suspek.

Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah penagihan dadah dan curi, katanya.

Beliau berkata bagi tempoh bulan Januari tahun ini sahaja, empat kes pecah kenderaan dilaporkan di bandar ini.

Zahruddin juga berkata polis ingin mendapatkan kerjasama seorang lelaki yang dikenali sebagai Phang Sze Kian, 25, yang berasal dari Jalan Hospital Taman Sari, dekat sini untuk membantu siasatan kes pecah kenderaan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain