suria

Kastam Rampas Rokok Putih, Kretek Bernilai RM6.37 Juta

PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor merampas sejumlah rokok putih dan rokok kretek yang dianggarkan bernilai RM6.37 juta termasuk cukai dalam dua rampasan berasingan di sini, baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Roslan Yusof berkata, dalam rampasan pertama pada 22 Januari lepas, pegawai penguatkuasa KDRM telah menahan sebuah kontena yang dipercayai dibawa menggunakan kapal dari Kemboja dan diikrar sebagai muatan perabot di Pelabuhan Utara di sini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati sejumlah 9.2 juta batang rokok putih bernilai RM5.95 juta ditemui dan ikrar berkenaan juga adalah palsu kerana menggunakan nama dan alamat pengimport yang tidak wujud.

"Kesemua rokok yang dirampas dipaket dan dilengkapi dengan amaran Kerajaan Malaysia tetapi tidak mempunyai setem cukai. Kita juga telah mengenal pasti orang yang disyaki dan akan ditahan dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata, dalam kes kedua pada 25 Januari pula, sejumlah rokok kretek bernilai RM421,435 dirampas dari dua buah van di Jalan Ijok-Berjuntai Bestari di Kuala Selangor.

Beliau berkata, pasukan penguatkuasa KDRM melakukan operasi serang hendap setelah mengesan dua van berkenaan yang membawa muatan rokok kretek belum lulus kastam menuju ke arah Kampung Bukit Badang di Kuala Selangor.

"Menyedari mereka sedang diekori, kedua-dua pemandu van itu membelok ke arah sebuah kawasan jalan tanah merah dan meninggalkan van mereka sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya.

Beliau berkata, selepas diperiksa kedua-dua van berkenaan membawa 6,060 karton rokok kretek. Roslan berkata, kesemua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan 135 (1)(e) Akta Kastam, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda daripada nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Roslan berkata, KDRM Selangor juga telah merampas minuman keras pelbagai jenama bernilai RM627,426 termasuk cukai di sebuah stor di Jalan Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemilik lot tanah dan premis terbabit telah dikenalpasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau juga meminta orang ramai memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat menerusi talian bebas tol KDRM di 1-800-88-8855 atau 03-3172321. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain