suria

Pesakit Perlu Ada Rekod Perubatan Untuk Bantuan: Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu yang ingin memohon bantuan perubatan daripada kerajaan negeri perlu mempunyai laporan perubatan yang jelas daripada hospital mengenai penyakit mereka.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ini kerana bantuan itu hanya untuk mereka yang menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan yang berterusan.

"Banyak orang salah faham dan ambil kesempatan, selain ada yang datang ke pejabat saya mahukan bantuan perubatan tetapi penyakit yang dialami tidaklah seteruk mana.

"Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM10 juta bagi merawat penyakit kronik seperti pembedahan buah pinggang, jantung atau kanser," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau sebelum itu melawat seorang bayi perempuan, Khaulah Al-Azwar Amrun, 3 bulan yang menghidap hidrosefalus atau gangguan aliran cecair dalam otak, di rumahnya di Kampung Panji Alam, di sini.

Tahun lepas, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan khas RM10 juta bagi membantu anak negeri yang menghidap penyakit kronik seperti jantung berlubang dan kanser dalam meringankan beban mereka untuk mendapatkan rawatan.

Mengenai bayi malang itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri sedia membiayai kos perubatannya termasuk untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta jika ada doktor pakar yang dapat merawat penyakit itu.

Sementara itu, ibu bayi berkenaan, Siti Norhayati Ahmad, 29, ketika ditemui berkata, anak bongsu daripada lima beradik tersebut sudah menjalani pembedahan pada 21 Disember lepas di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi mengeluarkan cecair daripada kepalanya.

Menurutnya, Khaulah kini memerlukan rawatan susulan di Kuala Lumpur yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM2,000 setiap kali ke sana.

"Saya buntu memikirkan soal kewangan kerana pendapatan sebagai peniaga kecil-kecilan hanya cukup untuk menampung makan harian anak beranak saja," katanya.

Siti Norhayati berkata, suaminya Amrun Mamat,52, yang sebelum ini berkerja sebagai jurufoto bebas kini terlantar di rumah selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain