suria

Muntik Mengadu Sakit Seluruh Badan, Kata Saksi

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani mengadu sakit di keseluruhan badan ketika ditemui di atas lantai tandas rumah majikannya, Oktober tahun lepas.

Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Muhamad Sahid Abdul Karim berkata wanita itu yang ditemui terbaring dalam kedudukan terlentang dengan dua kakinya terlipat ke belakang badan juga memberitahu bahawa dia telah dipukul.

"Wanita itu semasa saya lihat berada dalam keadaan sedar, boleh jawab apa yang saya tanya, boleh angkat tangan tetapi tidak dapat gerakkan kaki kerana terlipat dan ketika saya tanya berulang kali siapa yang memukulnya, mangsa cakap dia takut untuk beritahu," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada hari kedua perbicaraan kes A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang antara 18 dan 20 Oktober lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Menceritakan mengenai keadaan Muntik ketika ditemui, Muhamad Sahid, 32, berkata beliau lihat muka mangsa mempunyai kesan lebam, sebelah matanya tidak boleh dibuka dan terdapat kesan-kesan lebam lain di bahagian badan mangsa seperti di lengan dan ketika mangsa dikeluarkan dari tandas, beliau ternampak kepala mangsa botak selain terdapat kesan luka yang besar di kaki mangsa.

Ketika ditanya peguam V.Rajehgopal yang mewakili tertuduh sama ada kesan lebam di wajah mangsa dan luka besar itu adalah kesan lama atau sebaliknya, beliau berkata berdasarkan pengalamannya, kesan lebam di wajah mangsa ialah kesan lebam lama kerana telah menjadi hitam dan luka besar itu kelihatan seperti kesan bisul lama yang telah pecah.

Muhamad Sahid berkata pihaknya kemudian membawa mangsa ke HTAR menaiki ambulans yang turut dinaiki oleh majikan mangsa (isteri tertuduh) dan semasa dalam perjalanan ke hospital beliau memberi rawatan sampingan kepada mangsa seperti mengambil tekanan darah dan memasukkan "drip" ke dalam tubuhnya.

"Saya ada tanya mangsa adakah kepalanya memang botak ketika dia datang kerja di Malaysia tetapi mangsa hanya gelengkan kepalanya, sebaliknya majikan mangsa yang jawab rambut mangsa dipotong kerana banyak kutu.

"Dalam ambulans itu juga saya ada tanya mangsa siapa yang pukul dia dan dia jawab dia takut nak beritahu. Selepas dipujuk baru dia beritahu dia dipukul oleh majikan tetapi saya tidak tahu majikan lelaki atau perempuan yang pukul," katanya.

Turut menyambung keterangan pada perbicaraan hari ini ialah saksi keempat pendakwaan, Koperal Yusoff Ahmad yang merupakan anggota polis pertama yang tiba di tempat kejadian.

Pada prosiding sebelah pagi, saksi kelima pendakwaan Konstabel Afizan Mat Salim, 26, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang memberitahu mahkamah ketika menemui Muntik di dalam tandas rumah tertuduh, beliau dan Yusoff ada bertanyakan kepada isteri tertuduh siapa yang melakukan perkara sedemikian kepada mangsa dan wanita itu menjawab suaminya yang memukul mangsa.

Ditanya reaksi isteri tertuduh sepanjang mereka berada di rumah itu, Afizan berkata wanita itu nampak gelisah dan tidak tentu arah.

"Sepanjang kami berada di sana juga tertuduh tiada di rumah dan ketika ditanya di mana tertuduh, isterinya memberitahu bahawa suaminya keluar," katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain