suria

Tekankan Aspek Keselamatan - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran tidak berhasrat untuk merombak aktiviti kokurikulum di sekolah termasuk aktiviti sukan di luar kawasan sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun mengingatkan kepada pihak sekolah supaya meningkatkan tahap keselamatan dalam semua aktiviti kokurikulum yang melibatkan pelajar.

"Saya tak nak kata supaya tak boleh buat itu dan ini (hadkan aktiviti kokurikulum), cuma aspek keselamatan perlu ditekankan.

"Perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah faktor keselamatan bila melibatkan pelajar dalam aktiviti kokurikulum," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran MyID dan Persidangan Ketua-Ketua Agensi Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sebagai mengulas mengenai kejadian yang menimpa sekumpulan pelajar Sekolah Tinggi Chung Ling Air Itam, Pulau Pinang apabila perahu naga yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak kira-kira 100 meter dari pantai Lebuh Macallum berhampiran Pengkalan Weld, semalam.

Sehingga kini lima mayat termasuk seorang guru telah ditemui manakala dua lagi pelajar yang hilang masih dicari.

Seramai 12 lagi yang menyertai latihan tersebut bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.

Muhyiddin juga berharap kejadian malang berkenaan dapat menjadi peringatan kepada semua pihak agar ia tidak berulang lagi.

"Saya harap ini akan jadi satu peringatan agar ia tidak berulang lagi, aspek keselamatan perlu sentiasa diperingatkan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain