suria

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Sehingga Jumaat Depan

KUALA LUMPUR: Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di perairan Condore, Reef North, Pulau Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Jumaat depan.

Jabatan Meteorologi hari ini berkata angin kencang timur laut dengan kelajuan 60km sejam dan ombak mencapai ketinggian 5.5 meter dijangka berlaku dalam tempoh tersebut.

Dalam kenyataan di sini, jabatan itu turut memberi amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu) dan Tioman (Johor Timur dan Pahang), Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Bunguran, Reef South, Sulu dan Sulawesi.

Angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter itu turut dijangka berterusan sehingga Jumaat depan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan termasuk menangkap ikan, perkhidmatan feri dan aktiviti pantai.

Ribut petir dijangka berlaku di perairan Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (bagi kawasan Pantai Barat, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau) dan keadaan itu berterusan sehingga petang ini.

Keadaan itu juga boleh menyebabkan angin kencang sehingga 40km sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil.

Jabatan itu berkata hujan sekejap-sekejap kadang-kala sederhana dari semasa ke semasa yang turun di Sabah dalam bahagian Sandakan (Daerah Beluran, Tongod dan Kinabatangan), Pantai Barat (Daerah Ranau, Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang dan Papar) serta pedalaman (Daerah Tambunan, Keningau, Tenom dan Beaufort) akan berterusan sehingga Ahad ini.

Keadaan itu jika berterusan boleh menyebabkan tanah runtuh dan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah berdekatan tebing sungai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain