suria

Dua Buruh Dipenjara 10 Tahun Miliki Ganja

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas dua buruh warganegara Indonesia kerana memiliki 0.941 kilogram ganja di stesen bas di Pelabuhan Klang, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu setelah tertuduh, Puasaruddin Pasaribu dan Azhari Jamal, kedua-duanya berumur 36 tahun dan berasal dari Sumatera, Indonesia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 9 Jun 2008.

Puasaruddin dan Azhari didakwa memiliki dadah itu di stesen bas di Jalan Persiaran Raja Muda, Pelabuhan Klang, pada pukul 6.15 petang, 9 Jun 2008.

Fakta kes menyebut, Puasaruddin dilihat berada di tepi tandas awam berhadapan stesen bas dalam keadaan mencurigakan dan menyerahkan beg berwarna kuning yang disandang kepada Azhari yang menghampirinya.

Pemeriksaan mendapati beg itu mengandungi satu ketulan mampat dedaun kering yang disahkan sebagai ganja.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata, masyarakat perlu dilindungi daripada bahaya dadah walaupun keadilan yang paling baik disertakan dengan perasaan belas kasihan.

"Masalah dadah bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia termasuk di Indonesia yang mana sukar dibendung," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar sementara kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Ghazali Taib dan Suzanawati Ismail. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain