suria

Polis Cari Suami Isteri Bantu Siasatan Kes Ternak Cacing

KULIM: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, mencari sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes penipuan skim ternakan cacing, di Kulim yang melibatkan kerugian lebih RM25 juta.

Mereka ialah Abdul Razak Ahmad nombor kad pengenalan 640812-10-7483 dan isterinya Fatimah Ismail, 41. Alamat terakhir pasangan itu ialah di No 839, Jalan Bahagia, Taman Sejahtera, Lunas.

Ketua JSJK Kedah Supt Rossne Abdul Hamid berkata pasangan itu dikenalpasti setelah empat suspek berusia antara 30 dan 47 tahun ditahan di beberapa lokasi di Jitra dan di sini, semalam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pasangan itu, boleh menghubungi ASP Rawi Abdul Ghani di talian 04-4906222 atau balai polis berdekatan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata sehingga kini seramai 176 pelabur skim membuat laporan mengenai kes itu di beberapa balai polis termasuk di Sungai Petani, Pendang, Alor Setar serta Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Polis turut mengedarkan poster wajah lelaki itu bagi memudahkan orang ramai mengenali suspek bagi membantu siasatan polis, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain