suria

Azizan Sokong Pemberian Wang Pendahuluan Nafkah

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengalu-alukan pemberian wang pendahuluan perintah nafkah kepada mereka yang memperolehi perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah.

Namun beliau berkata, beliau akan melihat terlebih dahulu pelaksanaan perkara itu dari sudut positif dan negatif, sebelum mempersembahkannya kepada Sultan Kedah.

"Perkara ini telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat. Bagi pihak kerajaan negeri ia tidak ada masalah dan jika Tuanku Sultan bersetuju, maka kerajaan negeri akan turut bersetuju," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Semalam, Kerajaan Pusat telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah.

Azizan berkata, peruntukan itu adalah baik kerana ia dapat membantu isteri-isteri yang dalam proses perceraian dan tidak diberikan nafkah oleh suami, dapat meneruskan hidup dengan baik serta tidak terabai.

"Tetapi dari sudut negatifnya pula, saya takut nanti ada sesetengah suami yang akan mengambil kesempatan dengan tidak memberi nafkah kepada isterinya kerana mereka beranggapan bahawa kerajaan sudah memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak mereka," katanya.

Azizan berkata, cara pemberiannya perlu diperjelaskan dengan sebaik mungkin supaya orang ramai faham tentang kemudahan yang diberikan itu.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, tidak ramai muka baru yang dilantik sebagai ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kedah bagi penggal 2010-2011.

Kebanyakan ahli majlis yang dilantik itu adalah terdiri daripada ahli majlis yang lama, hanya 10 hingga 15 peratus sahaja muka baru yang dilantik.

"Muka-muka baru yang dilantik bukan dinilai oleh Kerajaan Tempatan sebaliknya dinilai oleh parti masing-masing," katanya.

Pada majlis angkat sumpah hari ini, seramai 255 orang dari 12 PBT mengangkat sumpah sebagai ahli majlis PBT bagi penggal 2010-2011. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain