suria

Lelaki Mati Ditembak Ketika Tukar Tayar

PULAU PINANG: Seorang pengendali pusat hiburan mati ditembak ketika sedang menukar tayar sebuah kereta dalam kejadian di hentian bas di Jalan Air Itam di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tuanku Said berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.40 malam apabila lelaki berusia 35 tahun itu sedang menukar tayar kereta yang pancit, milik seorang wanita berusia 25 tahun, yang dipercayai rakannya.

"Dia ditembak di kanan leher dan belakang badan dari jarak dekat oleh dua suspek yang menaiki motosikal," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Katanya, lelaki itu datang untuk membantu wanita itu apabila tayar kereta Perodua Myvinya pancit berhampiran Kolej Han Chiang di sini.

"Kami masih menyiasat hubungan antara mangsa dengan wanita itu yang turut cedera di kaki kirinya akibat ditembak," katanya, sambil menambah polis tidak menjumpai sebarang senjata berhampiran tempat kejadian.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya menghubungi polis dengan segera. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain