suria

Dr Rosli Mohon Batal Perintah Mufarakah

KOTA BHARU: Bekas Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kader, hari ini mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk membatalkan perintah mahkamah itu pada 21 Disember lalu agar dia dan isteri keduanya tinggal berasingan kerana pernikahan mereka diragui.

Alasan yang dinyatakan dalam permohonan yang difailkan menerusi Peguam Syarie, Mustafa Kamal Mat Hassan, ialah beliau dan Ilyani Mohd Noor, 30, telah bernikah semula mengikut hukum syarak di Kampung Bangsal Wakseng, Yarang, Pattani, Thailand pada 22 Disember lepas.

Mustafa Kamal memberitahu Hakim Syarie, Mohd Yusoff Awang bahawa bagi menyokong permohonan bantahan awal dan pembatalan perintah mufakarah yang dikeluarkan terhadap defendan, beliau memfailkan beberapa afidavit sokongan sebagai bukti terdiri daripada salinan surat nikah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Pattani, pas sempadan milik Rosli Allani dan pasport antarabangsa milik Ilyani yang tertera cop imigresen berhubung kenyataan keluar masuk pasangan itu di sempadan negara.

"Berdasarkan beberapa fakta dan pernyataan itu, saya dengan rendah diri memohon mahkamah membenarkan semua perintah sebagaimana permohonan ini bagi mengelak reputasi kedua-dua defendan terus diaibkan di mata masyarakat,” kata Mustafa Kamal.

Pada prosiding hari ini Rosli Allani dan pasangannya tidak hadir manakala bapa Ilyani, Mohd Noor Che Man, 58, hadir bersama peguamnya, Mohd Zaki Zainal Abidin.

Mohd Zaki pula membantah permohonan yang difailkan oleh Rosli Allani itu.

Setelah mendengar hujahan dari kedua-dua pihak, Mohd Yusoff menetapkan 17 Januari ini untuk mengumumkan keputusan terhadap permohonan itu, dan sehingga tarikh itu, perintah mufarakah yang dikeluarkan terhadap pasangan terbabit dikekalkan.

Pada 21 Disember lalu, mahkamah yang sama telah mengarahkan pasangan itu tinggal berasingan (bermufaraqah) kerana terdapat keraguan pada kesahihan pernikahan mereka di sebuah masjid di Selangor pada 26 Disember 2008. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain