suria

Kerajaan Beri Perhatian Kepada Kumpulan PLKN Bekerja, Bermasalah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan memberi tumpuan kepada remaja yang berkerja dan bermasalah untuk menarik mereka menyertai latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) apabila diarahkan berbuat demikian.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka ditempatkan dalam kumpulan tiga dan empat dalam setiap siri PLKN tetapi pada kebanyakan masa, mereka mengelak daripada menyertai latihan wajib itu.

Katanya dalam empat kumpulan siri PLKN, kumpulan ketiga dan keempat merupakan kumpulan yang sering memberi cabaran kepada PLKN berbanding pelatih daripada dalam kumpulan satu dan dua.

"Kumpulan satu ini tidak ada masalah kerana mereka (pelatih) baru lepas (tamat) sekolah. Yang ada masalah adalah pengambilan (kumpulan) tiga dan empat yang sering mengelakkan diri daripada menyertai PLKN," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta PLKN Siri 7/2010 di pekarangan Stadium Bukit Jalil di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata bagi menangani masalah itu, kementerian menggunakan beberapa pendekatan dalam mendekatkan diri dengan golongan remaja berkenaan untuk menggalakkan mereka menjadi wira dan wirawati kebanggaan negara selepas tamat PLKN.

"Pendekatan yang diberikan (kepada kumpulan tiga dan empat) agak berbeza daripada kumpulan lain iaitu pendekatan psikologi. Ini kerana kebanyakan mereka ada kerjaya, maka agak sukar untuk mendidik mereka," katanya.

Beliau berkata PLKN menyediakan jurulatih yang mempunyai pendidikan dalam bidang psikologi bagi mendekati golongan itu.

"Contohnya, bagi pelatih lelaki, kita menggunakan pendekatan yang boleh menarik mereka untuk tidak menggunakan kekuatan fizikal manakala bagi perempuan pula, kita menggunakan cara yang lembut," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata seramai 140,000 peserta dipilih menjalani PLKN bagi Siri 7/2010 dengan 38,000 daripadanya menjadi kumpulan pertama yang akan menjalani latihan selama tiga bulan.

Seramai 14,238 pelatih dari Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Putrajaya mula melaporkan diri di 102 lokasi Pusat Berkumpul di seluruh negara dan dibawa ke kem-kem latihan melibatkan 355 bas. Beliau berkata baki 14,570 pelatih dari Perlis, Labuan dan negeri-negeri lain akan melaporkan diri esok manakala 9,214 pelatih pada 4 Januari.

Kumpulan pertama siri itu melibatkan 939 bas bagi pergerakan ke kem-kem latihan di seluruh negara, 44 penerbangan bagi pergerakan pelatih dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dan sebaliknya manakala lapan feri bagi pelatih ke jeti Kuala Baram, jeti Kuah, Kuala Perlis, jeti Sibu dan Terminal feri Menumbuk. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain