suria

Mayat Mangsa Lemas Kedua Ditemui

DUNGUN: Mayat seorang lagi kanak-kanak yang hilang dipukul ombak ketika bermain air di pantai Jeti Sura di sini Ahad lalu, dijumpai pagi ini di pantai Paka, berhampiran Stesen Janaelektrik Tenaga Nasional Berhad Sultan Ismail, kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Dahlan Mohd Noor berkata, mayat Ahmad Amirul Haikal Jaafar, 9, yang tidak berpakaian itu dijumpai oleh orang awam di tepi pantai berkenaan kira-kira 7.15 pagi ini.

Beliau berkata, mayat mangsa itu telah disahkan oleh ibunya Azrina Kamaruzaman, 30-an, ketika membuat pengecaman di pantai berkenaan.

Semalam mayat abangnya Ahmad Amirul Hafiz, 9, ditemui terapung oleh pasukan penyelamat pada 8.45 pagi, 300 meter dari tempat kejadian dan jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Sura Jeti selepas solat Zohor.

Ahmad Amirul Hafiz yang lahir pada 21 Mac 2000 dan adiknya Ahmad Amirul Haikal yang lahir pada 19 Disember tahun yang sama, tinggal dengan nenek mereka, Dolha Mohamad bersama sepasang abang kembar mereka yang berumur 14 tahun di Jalan Pantai Jeti Sura di sini.

Mereka berdua bersama tiga orang lagi rakan pergi bermain di pantai berkenaan pada jam 5 petang hari kejadian, tanpa disedari oleh nenek mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka hilang dipukul ombak besar ketika leka bermain di pantai berkenaan.

Pada 13 Disember lepas, seorang lelaki dan menantunya dari Johor yang bercuti, juga mati lemas ketika singgah dan mandi di pantai Rantau Abang di sini setelah dipukul ombak dan dihanyutkan arus. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain