suria

Pemilik Kedai Gunting Rambut Ditemui Mati Di Rumahnya

JOHOR BAHARU: Seorang pemilik kedai gunting rambut ditemui mati dalam berkeadaan tidak berpakaian di dalam biliknya di sebuah rumah teres di Bandar Selesa Jaya di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata mayat lelaki berumur 49 tahun dan masih bujang itu ditemui rakan serumahnya yang pulang ke rumah itu kira-kira 10.45 malam, dengan kaki dan tangan mangsa diikat menggunakan wayar manakala mulutnya diikat dengan kain.

"Rakannya yang pulang dari kerja mendapati pintu rumah tersebut tidak berkunci dan terbuka sebelum menemui rakannya itu di dalam bilik dalam keadaan demikian," katanya ketika dihubungi.

Abdul Aziz berkata mangsa dan rakannya hanya tinggal berdua di rumah tersebut dan dia dipercayai sudah meninggal dunia antara tiga atau empat jam sebelum mayatnya ditemui rakannya.

Beliau berkata punca kematian mangsa masih belum dikenal pasti dan tiada kesan pergelutan, tiada barangan yang hilang dan tiada kesan darah di tempat kejadian. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain