suria

Garis Panduan Baru Penapisan Filem Mulai Tahun Depan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengadakan garis panduan baru berhubung penapisan filem mulai tahun depan dengan mengambil kira input daripada pemain industri, ahli akademik, golongan belia dan mereka yang berpengalaman.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, garis pandun itu akan turut membuka jalan kepada penapisan dan pemantauan sendiri di kalangan pengamal industri berkenaan.

"Golongan karyawan dan seniman seperti penulis skrip, pengarah, pelakon semua akan dijemput untuk membantu dalam penapisan filem kita selain daripada ahli-ahli akademik dan juga golongan yang matang yang telah dipilih sebelum ini.

"Kami juga akan menjemput golongan muda dan selain daripada itu, kami ingin memastikan bahawa sebelum filem itu dibuat, skrip filem tersebut terlebih dahulu akan dibaca oleh Lembaga Penapisan Filem dan sekiranya perlu, kami akan menjemput penulis skrip atau pemilik filem itu sendiri untuk berbincang," kata Mahmood kepada pemberita pada majlis pelantikan ahli lembaga tersebut di sini hari ini.

Kini Lembaga Penapisan Filem akan menonton keseluruhan filem sebelum membuat tapisan yang mungkin boleh menyebabkan sesetengah mesej filem tidak dapat diluluskan. - BERNAMA

Artikel Lain