suria

Permohonan Jazimin Pinda Pernyataan Tuntutan Didengar 29 Januari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 29 Januari ini sebagai tarikh untuk mendengar permohonan Jazimin Abdul Jalil, bapa kanak-kanak yang diculik dan dibunuh, Nurin Jazlin, bagi meminda pernyataan tuntutannya untuk turut menamakan Lans Koperal Amran Arifin sebagai defendan dalam kes saman itu.

Tarikh itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Noordura Mohamed Din selepas perkara itu dikemukakan di hadapannya untuk sebutan hari ini.

Ini berikutan pengakuan oleh defendan dalam kes saman itu, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan kerajaan Malaysia, dalam pernyataan pembelaan mereka bahawa gambar-gambar bedah siasat Nurin diedarkan oleh Amran.

Dalam pernyataan tuntutan asal, Amran tidak dinamakan sebagai defendan. Jazimin, 35, seorang pekerja di syarikat keselamatan, mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan atas dakwaan cuai berikutan pengedaran gambar-gambar bedah siasat anak perempuannya itu dalam internet.

Beliau memohon gantirugi am, gantirugi teladan dan gantirugi teruk, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, dengan mendakwa gambar-gambar berkenaan bersifat sulit serta peribadi dan bukan untuk tatapan umum tetapi hanya untuk tujuan penyiasatan kes Nurin.

Nurin, 8, hilang pada 20 Ogos 2007 selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Mayatnya ditemui dalam sebuah beg sukan 27 hari kemudian, di hadapan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya. Laporan bedah siasat mendedahkan bahawa dia didera secara seksual.

Pada 13 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Jazimin supaya kes kes saman itu diselesaikan dengan cepat melalui penentuan persoalan undang-undang selepas memutuskan bahawa perkara itu mesti ditentukan menerusi perbicaraan penuh.

Peguam Akbardin Abdul Kader mewakili Jazimin manakala pendakwaan dijalankan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Mohd Dom. - BERNAMA

Artikel Lain