suria

Dua Sahabat Maut Dalam Kemalangan

IPOH: Dua lelaki yang merupakan sahabat baik terbunuh, manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut dekat Jelapang awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten komisioner Azisman Alias berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira kira pukul 3 pagi tadi, pemandu kereta Meor Mohammad Azlan Meor Ahmad Sabri, 21, berasal dari Kampung Manjoi dan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini manakala rakannya Mohamad Zul Akmar Ali, 21, dari Jelapang Jaya.

Beliau berkata, Meor Mohamad Azlan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohamad Zul Akmar meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat cedera parah di kepala.

"Dua lagi yang cedera parah masih belum dikenalpasti identitinya dan di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Meor Mohammad Azlan dalam perjalanan dari Sitiawan ke sini di katakan gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh penghadang di tepi jalan.

"Akibat kejadian itu, kereta terbabit remuk dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dihantar ke hospital," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya hari ini untuk dikebumikan ditanah perkuburan di Manjoi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain