suria

Program Inap Desa Diperluas Ke Kampung Cina

RAUB - Program Inap Desa akan diperluaskan ke kawasankampung Cina bagi memperkenalkan konsep 1Malaysia khususnya kepada pelancong asing, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata, sehingga kini kira-kira 130 kampung dengan 3,600 buah rumah di seluruh negara telah menganjurkan program tersebut tetapi tiada perkampungan Cina yang terlibat.

Katanya ia berkemungkinan disebabkan budaya kaum itu yang tidak biasa menerima kehadiran orang lain untuk tinggal bersama mereka.

"Ini berbeza dengan masyarakat Melayu yang saya lihat mudah menerima kehadiran orang luar atau pelancong," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Kampung Sungai Chetang di sini, hari ini.

Ng berkata, Katanya Program Inap Desa terbukti mampu menjana ekonomi masyarakat luar bandar berikutan pelancong kini lebih berminat untuk tinggal di rumah rakyat negara ini berbanding hotel bagi menyelami sendiri budaya tempatan.

Katanya, program berkenaan telah menjana pendapatan sebanyak RM7.2 juta sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

"Malah, dalam tempoh itu ada rumah yang berjaya meraih pendapatan berjumlah RM10,000," katanya.

Bagaimanapun katanya, kampung yang berminat perlu menyusun aktiviti-aktiviti kebudayaan selain penduduknya harus bertanggungjawab terutama dalam memelihara kebersihan bagi menggamit pelancong ke kampung mereka.

Sementara itu, Ng berkata Kampung Sungai Chetang di sini yang dikelilingi bukit bukau dengan udara yang nyaman mampu menjadi perintis kepada perkampungan Cina dalam program inap desa tersebut.

Ujarnya, kebanyakkan penduduk kampung itu pada dasarnya telah bersetuju untuk mengadakan program itu dan kementeriannya akan sentiasa memberi galakan kepada kampung yang berminat terutama melalui aktiviti promosi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain