suria

16 Ditahan Positif Dadah Di Sekitar Ampang

KUALA LUMPUR: Seramai 16 lelaki ditahan kerana positif dadah dalam satu operasi bersepadu membabitkan agensi kerajaan di sekitar Ampang, di sini malam semalam.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor, Nani Sikin berkata sehingga pukul 11.15 malam semalam, seramai 130 pemandu kenderaan dan penunggang motosikal telah diperiksa dan diarahkan menjalani ujian air kencing.

"Pemeriksaan AADK ke atas 130 individu mendapati 16 positif dadah termasuk lapan daripadanya positif ganja.

"Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 hingga 40 tahun," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata mereka yang disahkan sebagai penagih dadah akan dikenakan tindakan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 iaitu diperintahkan menjalani rawatan dan pemulihan selama tempoh dua tahun atau menjalani pengawasan dalam komuniti yang ditetapkan selama dua tahun.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke AADK Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

Operasi selama tiga jam bermula pukul 9 malam yang diketuai oleh AADK itu, turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Dalam operasi itu, JPJ turut mengeluarkan 40 saman atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain