suria

Kerajaan Berazam Tambah Jumlah Pengguna Pengangkutan Awam Di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Kerajaan berazam meningkatkan bilangan pengguna pengangkutan awam kepada 600,000 menjelang 2012 di Lembah Klang daripada 240,000 buat masa ini.

"Tumpuan keseluruhan kami ialah untuk mengatasi masalah pengangkutan di bandaraya-bandaraya utama di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor dengan mengadakan khidmat pengangkutan awam yang berkesan," kata Penasihat Khas-Pengangkutan, Kementerian Pengangkutan, Mohamad Nur Kamal kepada pemberita di Program Transformasi Kerajaan selama dua hari yang bermula di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang bertanggungjawab ke atas Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi.

"Buat masa ini, fokus kami adalah di Lembah Klang. Kira-kira 9.5 juta orang tinggal di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Di Lembah Klang sahaja, 10-12 peratus menggunakan pengangkutan awam untuk berulang alik," kata Mohamad Nur.

Bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, beliau berkata, kerajaan sedang meningkatkan kebolehpercayaan pengangkutan awam, menggurangkan masa perjalanan, membaiki kemudahan akses dan sambungan perkhidmatan bas sambil memastikan kemapuan yang mencukupi untuk muatan komuter.

"Antara langkah lain yang sedang dilaksanakan ialah pelaksanaan laluan bas dan menambahkan liputan dan mutu perhentian bas di seluruh Lembah Klang melalui usahasama sektor swasta," katanya.

Langkah-langkah itu termasuk pengkuatkuasaan peraturan trafik dan piawaian perkhidmatan dengan kerjasama semua agensi berkenaan.

"Kami juga menimbangkan untuk menubuh terminal pengangkutan dan hab bandaraya bagi mengatasi kesesakan dalam bandaraya dan platform tunggal jualan tiket yang membabitkan semua pengendali seperti sistem "Touch n Go"," katanya.

Menurut Mohamad Nur, kerajaan juga menimbangkan cara untuk membaiki kemudahan meletak kereta di semua stesen tren. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain